KENALI SAYA?

My photo
Diam itu lebih baik. Berdiam, tidak memberikan sebarang ekspresi dan balasan. Baik untuk tempat dan ketika yang hati merasakan ianya adalah terbaik untuk berdiam diri. Hati yang mahukan. Hati merasakan terbaik untuknya. Saya mengikut kehendak si hati ini sahaja. Maafkan diri ini jika ada ucapan, kiriman, mesej atau khabar yang tidak berbalas. Bukan sombong atau tidak peduli. Jauh di sudut hati ini, selalu mendoakan kesejahteraan, kebahagiaan, dan keberkatan di setiap masa. Antara harapan, keinginan, kemahuan, impian dan penantian. Dan Allah tahu yang terbaik. Saya yakin. Inilah saya. Maafkan~

Wednesday, January 19, 2011

(SITUASI 4) Kesantunan Bahasa Verbal dan Nonverbal

Tajuk: Kesantunan Bahasa Verbal dan Nonverbal.
Tarikh: 20 Januari 2011
Hari: Khamis
Situasi: Novel Sehijau Warna Daun

           
            Pada pagi ini, saya ingin menulis berkaitan penggunaan bahasa dari aspek kesantunan berbahasa. Jika sebelum ini, saya banyak mengemukakan peristiwa atau situasi berkenaan ketidaksantunan berbahasa, tetapi hari ini sebaliknya. Saya memperolehi idea untuk menulis apabila saya teringat kembali kisah yang terdapat di dalam Novel Sehijau Warna Daun yang menyentuh dua aspek kesantunan berbahasa iaitu dari segi verbal atau lisan dan nonverbal atau tingkah laku, mimik muka dan nada suara.

Sebagai contoh, marilah kita sama-sama meneliti petikan yang berikut ini:

“Belajarlah nak bersungguh-sungguh. Kita tidak ada harta. Pelajaranlah harta buatmu, nak.” Begitu kata-kata ibunya membujuk dia ke sekolah.
“Kau dah pulang Ramli? Bukalah kasut itu. Letakkan baik-baik di tempat letak kasut. Eh, masih bersih kasut kau tu! Anak yang baik macam tulah,” kata ibunya di muka pintu.
Ramli melihat susuk tubuh ibunya penuh penderitaan, akan tetapi wajahnya amat manis, dengan senyuman terukir di bibirnya. Betapa ibunya berusaha benar menyembunyikan penderitaan itu disebalik senyumannya. Dia tahu bahawa ibunya bertanggugjawab terhadap dirinya dan adik-adiknya juga.
Dia meletakkan kasutnya dengan baik di atas tempat letak kasut yang diperbuat daripada tong. Tempat itu dibuat oleh ibunya sendiri. Kasut adik-adik dan ibunya teratur rapi. Ternyata ibunya amat mementingkan kebersihan dan kesempurnaan.
“Emak! Esok Hari Guru di sekolah Ramli. Ramli ingin hadiahkan sesuatu kepada Cikgu Fatimah. Dia baik kat Ramli.”
Ibunya mengangguk-angguk. Akan tetapi tergambar kemuraman di wajahnya. Nasi yang disuapnya dikunyah perlahan-lahan. Dia tahu ibunya sedang memikirkan harapannya itu.
Dia menoleh ke arah adik-adiknya yang sedang makan dengan penuh selera. Rizal, adiknya yang tengah, berulang-ulang kali mengangkat pinggan nasinya untuk melihat kiranya ada nasi yang bertaburan di atas lantai.
“Rizal nak nasi lagi?” tanya Ramli.
“Tak nak, bang. Ijai dah kenyang,” jawab adiknya membahasakan Ijai sebagai nama timang-timangan.
(Dipetik dan disesuaikan daripada Sehijau Warna Daun, hlm 52-54)


Berdasarkan petikan di atas, saya dapat meneliti kesantunan dalam dua bentuk perlakuan, iaitu perlakuan bahasa dan bukan perlakuan bahasa. Antara  perlakuan bahasa dapat dilihat melalui kata nasihat yang diujarkan oleh ibu Ramli dalam bentuk nasihat. Contohnya:

“Belajarlah nak bersungguh-sungguh. Kita tidak ada harta. Pelajaranlah harta buatmu, nak.”

            Manakala, bukan perlakuan bahasa yang ditonjolkan dalam novel ini seperti air muka atau rauk wajah. Contohnya:

…wajahnya amat manis, dengan senyuman terukir di bibirnya. Betapa ibunya berusaha benar menyembunyikan penderitaan itu di sebalik senyumannya.


Jadi, pada pendapat saya, dalam kehidupan harian kita perlu bijak menyesuaikan penggunaan bahasa sama ada dalam bentuk verbal atau nonverbal dalam komunikasi. Kesantunan boleh dipupuk dan disemaikan dalam diri kita dari semasa ke semasa. Prosesnya sangat panjang dan tidak ada jalankan pintas. Harus diingat bahawa kesantunan merangkumi dua bentuk hubungan, iaitu hubungan yang baik antara manusia dengan manusia dan hubungan yang baik antara manusia dengan Pencipta. Keupayaan kita memelihara hubungan yang baik antara manusia dengan manusia semata-mata tidak bermakna kita telah mengamalkan kesantunan jika tidak disertai oleh amalan hubungan yang baik antara kita dengan Pencipta.

Santunkah kita
Apabila berbicara mendabik dada
Apabila bercakap bohong belaka
Apabila diberi secebis kuasa tersalah guna
Apabila mengajar kepalang ajar
Apabila berjanji dimungkiri
Ada akal tidak berfikir
Ada Ilmu tanpa amal

Santunkah kita
Kita mencintai yang dicipta melupai Pencipta
Kita mencintai kehidupan melupai kematian
Kita mencintai kekayaan melupai perhitungan.

3 comments: