KENALI SAYA?

My photo
Diam itu lebih baik. Berdiam, tidak memberikan sebarang ekspresi dan balasan. Baik untuk tempat dan ketika yang hati merasakan ianya adalah terbaik untuk berdiam diri. Hati yang mahukan. Hati merasakan terbaik untuknya. Saya mengikut kehendak si hati ini sahaja. Maafkan diri ini jika ada ucapan, kiriman, mesej atau khabar yang tidak berbalas. Bukan sombong atau tidak peduli. Jauh di sudut hati ini, selalu mendoakan kesejahteraan, kebahagiaan, dan keberkatan di setiap masa. Antara harapan, keinginan, kemahuan, impian dan penantian. Dan Allah tahu yang terbaik. Saya yakin. Inilah saya. Maafkan~

Tuesday, January 25, 2011

(SITUASI 8) Perlukah?

Tajuk: Perlukah?
Tarikh: 26/1/2011
Hari: Rabu

Hari ini, saya terbaca satu artikel yang menghebohkan penggunaan bahasa yang tidak sesuai didengar oleh Lisa Surihani ketika siaran 'Mari Menari' yang dibicarakan oleh Awal Ashaari. Ramai yang terkejut dengan aksi spontan Lisa Surihani yang telah mengeluarkan perkataan "Gila Babi' semasa siaran langsung tempoh hari. Saya cuba untuk melihat semula siaran langsung tersebut melalui "youtube' namun semuanya sudah ditapis oleh penerbit.
    Hal demikian mungkin disebabkan dia berasa sangat teruja ketika mengacara program tersebut sehingga secara tidak sengaja mengeluarkan perkataan yang sangat kutang sopan itu. Keadaan demikian juga mungkin disebabkan perwatakan kurang sopan itu sudah menjadi tabiat harian bagi dirinya.
ULASAN
Bagi saya, perkataan sedemikian tidak patut dituturkan secara sengaja mahupun tidak sengaja. Kita perlulah berhati-hati agar perkataan sedemikian tidak terkeluar dari mulut sendiri. Namun, setiap manusia pasti akan melakukan kesilapan dan saya harap kesilapan itu mampu menjadi pengajaran kepada kita.

(SITUASI 7) Ruangan Forum Menjana Bahasa

Tajuk: Ruangan Forum Menjana Bahasa
Tarikh: 25 Januari 2011
Hari: Selasa

Pada petang ini, sedang saya mencari bahan untuk dijadikan rujukan tugasan, saya terjumpa sebuah ruangan forum yang sangat menarik. Hal demikian kerana matlamat penubuhan ruangan tersebut adalah bagi meminta pandangan daripada masyarakat terhadap bahasa Melayu. Syarat-syarat yang dikenakan juga sangat berkesan, di mana pemilik ruangan tersebut mengutamakan penggunaan bahasa baku dalam setipa pandangan yang diketengahkan. Di sini saya lampiran ayat yang terdapat di dalam ruangan forum tersebut:

"Assalamualaikum wahai saudara dan saudari sekalian,
Sukacita memaklumkan bahawa, dengan kebenaran dari yang empunya forum, dengan kuasa yang diamanahkan kepada sayamenjadi 'moderator' percubaan, maka hamba ingin mengajak semua rakyat jelata mengambil bahagian didalam forum ini, dimana saudara dan saudari sekalian 'MESTILAH' membalas dengan ejaan dan bahasa melayu yang baku* [kecuali terma-terma khas yang susah nak diterjemah]."
"Saudara-saudari sekalian boleh bersyair, berbalas pantun, mahupun berhaiku semasa saudara-saudari membuat surat-balas".
    inilah yang dikatakan sebagai generasi pewaris bahasa, di mana melalui usaha yang beliau lakukan sudah tergambar perasaan cintanya terhadap bahasa. Tidak seperti sesetengah generasi sekarang yang lebih gemar menggunakan bahasa rojak, bahasa pasar dan bahasa 'SMS'. Alangkah malangnya nasib bahasa ibunda sekiranya generasi sedemikian tidak dibimbing sebaiknya. Harapan saya untuk melihat ruangan forum sedemikian semakin mendapat sokongan semua lapisan masyarakat.

Pucuk Dicita Ulam Mendatang,
Inster Pak Hamid Datang Berlenggang,
Bahasa Melayu Wajib Dijulang,
Supaya Berwaris Dimasa Akan Datang.
alangkah indahnya bahasa melayu,
penuh tersusun sopan santunnya,
bukan susah nak berbahasa melayu,
ianya terpulang kepada tuannya.

Monday, January 24, 2011

(SITUASI 6) Restoran

SITUASI
(Restoran Selera Semua, Kedah.1 Januari 2011)

Pada malam tahun baru, saya dan keluarga bertandang ke sebuah Restoran makanan laut untuk menjamu selera. Namun, selera kami terhenti tatkala dilayan seperti orang asing. Mana tidaknya, seorang pelayan telah menggunakan bahasa yang tidak digunakan iaitu bahasa pasar dalam situasi sedemikian. Pelayan tersebut telah menggunakan bahasa pasar yang mudah dengan menyamatarafkan semua pelanggan dengan taraf dirinya sendiri.

Pelayan: You nak makan apa? You seleklah makan dari meja tu, you ambiklah apa you nak. Kemudian you bawak kat I, I kira bagi kat you.

Pelanggan: Cik puan, panggillah pelanggan ‘cik’ atau ‘encik’ dan ‘puan.’ Itu panggilan hormat.

Pelayan: You tak suka tak pa ...we all tak pernah dengar orang komplen pun ...

ULASAN

Apabila pelayan menggunakan ganti nama you kepada pelanggan, pelanggan merasa tidak dihormati. Malah dia merasakan dia disamakan dengan pelayan remaja yang menyebut dirinya I. Pada pihak pelayan pula, apabila dia menggunakan kata ganti nama you kepada semua pelanggan, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu dia telah berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting. Tanpa pelanggan perniagaan kita tidak ada. Oleh sebab itu, kedudukan pelanggan melebihi taraf seorang pelayan. Kita tidak boleh merendahkan pelanggan dengan menggunakan bahasa pasar yang kurang sopan apabila berhadapan dengan mereka. Jadi, bagi mengelakkan berlakunya perbalahan antara pelayan dengan pelanggan, bahasa rasmi seperti Encik, Tuan, Puan, Cik dan Cik Puan perlu digunakan untuk memperlihatkan bahasa yang dituturkan menjadi lebih sopan-santun.
Apabila kita mahu menggunkan bahasa tinggi buanglah ganti nama pinjanan.

Bahasa yang berbudi Bahasa, mengerat hubungan sesama kita

Thursday, January 20, 2011

(SITUASI 5) Penggunaan Bahasa Rojak

Tajuk: Penggunaan Bahasa Rojak.
Tarikh: 21 Januari 2011
Hari: Jumaat

     Pada hari ini saya telah menghadiri sebuah majlis formal yang dianjurkan oleh Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu yang membincangkan isu-isu sosiolinguistik. Melalui majlis ilmu tersebut, saya didedahkan dengan masalah penggunaan bahasa rojak yang kian hebat melanda masyarakat kita pada hari ini. Menurut Professor Dr. Awang Sariyan, gejala ini merupakan salah satu penyebab bahasa Melayu kini kian diabaikan.

     Di sini, saya ingin menyatakan bahawa gejala penggunaan bahasa rojak ini kian menular dalam kalangan masyarakat universiti, tidak terkecuali Universiti Pendidikan Sultan Idris. Mengapa saya berkata sedemikian? Rasionalnya, saya telah melihat sendiri penggunaan bahasa rojak tersebut pada satu iklan yang menawarkan tiket bas untuk pulang ke kampung. Kertas iklan tersebut ditampalkan di merata tempat untuk menghebahkan penjualan tiket bas tersebut kepada semua pelajar, sehingga di hadapan pintu bilik kuliah. Saya memuji tindakan memberi kemudahan kepada para pelajar untuk pulang ke kampung, namun dari segi penggunaan bahasa rojak tersebut amat mengecewakan. Apatah lagi, bahasa sedemikian digunakan dalam kalangan pelajar yang bakal bergelar pendidik pada masa akan datang. Bayangkan apakah yang akan berlaku kepada anak murid di sekolah nanti, sekiranya guru sendiri menggunakan bahasa rojak?

ULASAN:

     Pada pendapat saya, Penggunaan Bahasa Rojak di Malaysia merupakan satu topik kontroversi oleh kerana para pengkaji bahasa menganggapnya sebagai penggunaan bahasa yang tidak betul dan mungkin menimbulkan krisis dalam pembelajaran bahasa. Mereka bimbang bahawa siswa-siswi akan kekurangkan kemahiran menulis dan bertutur sekiranya amalan ini terus berlaku. Satu cadangan untuk membendung gejala ini adalah untuk bertutur dalam bahasa Melayu tulen dalam satu ayat tanpa campuran bahasa lain. Akan tetapi untuk pelajar-pelajar sekolah luar bandar satu-satunya cara untuk melatih kemahiran berbahasa Inggeris mereka adalah untuk menggunakan bahasa itu dalam perbualan seharian. Dengan diri mereka sendiri yang tidak punyai kemahiran dalam bahasa Inggeris, ia sekaligus memberikan pendengar mereka satu gambaran Bahasa Rojak. Ini juga merupakan satu fenomena yang sedang merebak ke bandar.

    Alasan yang paling popular bagi penggunaan Bahasa Rojak ini ialah untuk menonjolkan kehebatan si penutur menguasai bahasa yang satu lagi, terutama Bahasa Inggeris. Malangnya ini juga secara tidak langsung mendedahkan mereka kepada cemuhan orang lain yang melihat mereka sebagai tidak mampu atau dalam bahasa kasarnya, bodoh, dalam menguasai salah satu daripada bahasa tersebut secara sepenuhnya. Satu fakta yang memang tidak dapat disangkal lagi ialah, kebanyakan penutur Bahasa Rojak ini biasanya mengalami kesukaran untuk berkomunikasi di dalam persekitaran berbahasa Inggeris yang sebenar, dan ini kerap menyebabkan mereka disalah erti, terutama apabila berada di negara-negara barat yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan seharian

Wednesday, January 19, 2011

(SITUASI 4) Kesantunan Bahasa Verbal dan Nonverbal

Tajuk: Kesantunan Bahasa Verbal dan Nonverbal.
Tarikh: 20 Januari 2011
Hari: Khamis
Situasi: Novel Sehijau Warna Daun

           
            Pada pagi ini, saya ingin menulis berkaitan penggunaan bahasa dari aspek kesantunan berbahasa. Jika sebelum ini, saya banyak mengemukakan peristiwa atau situasi berkenaan ketidaksantunan berbahasa, tetapi hari ini sebaliknya. Saya memperolehi idea untuk menulis apabila saya teringat kembali kisah yang terdapat di dalam Novel Sehijau Warna Daun yang menyentuh dua aspek kesantunan berbahasa iaitu dari segi verbal atau lisan dan nonverbal atau tingkah laku, mimik muka dan nada suara.

Sebagai contoh, marilah kita sama-sama meneliti petikan yang berikut ini:

“Belajarlah nak bersungguh-sungguh. Kita tidak ada harta. Pelajaranlah harta buatmu, nak.” Begitu kata-kata ibunya membujuk dia ke sekolah.
“Kau dah pulang Ramli? Bukalah kasut itu. Letakkan baik-baik di tempat letak kasut. Eh, masih bersih kasut kau tu! Anak yang baik macam tulah,” kata ibunya di muka pintu.
Ramli melihat susuk tubuh ibunya penuh penderitaan, akan tetapi wajahnya amat manis, dengan senyuman terukir di bibirnya. Betapa ibunya berusaha benar menyembunyikan penderitaan itu disebalik senyumannya. Dia tahu bahawa ibunya bertanggugjawab terhadap dirinya dan adik-adiknya juga.
Dia meletakkan kasutnya dengan baik di atas tempat letak kasut yang diperbuat daripada tong. Tempat itu dibuat oleh ibunya sendiri. Kasut adik-adik dan ibunya teratur rapi. Ternyata ibunya amat mementingkan kebersihan dan kesempurnaan.
“Emak! Esok Hari Guru di sekolah Ramli. Ramli ingin hadiahkan sesuatu kepada Cikgu Fatimah. Dia baik kat Ramli.”
Ibunya mengangguk-angguk. Akan tetapi tergambar kemuraman di wajahnya. Nasi yang disuapnya dikunyah perlahan-lahan. Dia tahu ibunya sedang memikirkan harapannya itu.
Dia menoleh ke arah adik-adiknya yang sedang makan dengan penuh selera. Rizal, adiknya yang tengah, berulang-ulang kali mengangkat pinggan nasinya untuk melihat kiranya ada nasi yang bertaburan di atas lantai.
“Rizal nak nasi lagi?” tanya Ramli.
“Tak nak, bang. Ijai dah kenyang,” jawab adiknya membahasakan Ijai sebagai nama timang-timangan.
(Dipetik dan disesuaikan daripada Sehijau Warna Daun, hlm 52-54)


Berdasarkan petikan di atas, saya dapat meneliti kesantunan dalam dua bentuk perlakuan, iaitu perlakuan bahasa dan bukan perlakuan bahasa. Antara  perlakuan bahasa dapat dilihat melalui kata nasihat yang diujarkan oleh ibu Ramli dalam bentuk nasihat. Contohnya:

“Belajarlah nak bersungguh-sungguh. Kita tidak ada harta. Pelajaranlah harta buatmu, nak.”

            Manakala, bukan perlakuan bahasa yang ditonjolkan dalam novel ini seperti air muka atau rauk wajah. Contohnya:

…wajahnya amat manis, dengan senyuman terukir di bibirnya. Betapa ibunya berusaha benar menyembunyikan penderitaan itu di sebalik senyumannya.


Jadi, pada pendapat saya, dalam kehidupan harian kita perlu bijak menyesuaikan penggunaan bahasa sama ada dalam bentuk verbal atau nonverbal dalam komunikasi. Kesantunan boleh dipupuk dan disemaikan dalam diri kita dari semasa ke semasa. Prosesnya sangat panjang dan tidak ada jalankan pintas. Harus diingat bahawa kesantunan merangkumi dua bentuk hubungan, iaitu hubungan yang baik antara manusia dengan manusia dan hubungan yang baik antara manusia dengan Pencipta. Keupayaan kita memelihara hubungan yang baik antara manusia dengan manusia semata-mata tidak bermakna kita telah mengamalkan kesantunan jika tidak disertai oleh amalan hubungan yang baik antara kita dengan Pencipta.

Santunkah kita
Apabila berbicara mendabik dada
Apabila bercakap bohong belaka
Apabila diberi secebis kuasa tersalah guna
Apabila mengajar kepalang ajar
Apabila berjanji dimungkiri
Ada akal tidak berfikir
Ada Ilmu tanpa amal

Santunkah kita
Kita mencintai yang dicipta melupai Pencipta
Kita mencintai kehidupan melupai kematian
Kita mencintai kekayaan melupai perhitungan.

Tuesday, January 18, 2011

(SITUASI 3) Ke mana hilangnya budi bahasa?

Tajuk: Ke mana hilangnya budi bahasa?
Tarikh: 19 Januari 2011
Hari: Rabu
Tempat: Di dalam bilik pensyarah.


Pada hari ini, tercatat pada kalendar 19 Januari 2011 bersamaan hari Rabu. Saya mempunyai satu peristiwa yang ingin dikongsi bersama. Peristiwa ini berkaitan penggunaan bahasa yang tidak sopan yang melibatkan seorang pensyarah yang berpangkat Profesor dan mahasiswa semester pertama. Peristiwa yang tidak diingini ini berlaku apabila mahasiswa tersebut mengetuk pintu bilik pensyarah untuk mendapatkan tandatangan pensyarah tersebut.

            Seterusnya, apabila pintu dibuka, pensyarah menggamit mahasiswa itu supaya masuk, sambil beliau terus menulis. Pensyarah tersebut berkelakuan sedemikian kerana beliau beranggapan bahawa mahasiswa itu merupakan orang yang ke-20 yang mahu mendapatkan tandatangan beliau bagi menyelesaikan masalah tambah dan gugur kursus. Sambil melangkah masuk, pelajar tersebut berkata:
           
            “Hai, sibuk nampak!”

            Pada pandangan saya, walaupun ayat itu pendek, namun maksudnya cukup mendalam. Tambahan lagi, diujarkan dalam situasi sedemikian terhadap lelaki yang lebih tua daripada kita apatah lagi berpangkat Profesor. Jadi, saya rasa bahasa tersebut tidak wajar digunakan oleh mahasiswa tersebut. Hal demikian kerana, walaupun niat dia ingin mewujudkan suasana mesra dalam situasi tersebut, namun kita hanya boleh melawak dengan orang yang setaraf atau lebih rendah daripada kita. Kita tidak pernah melawak dengan ayah kita kerana ayah kita lebih tinggi statusnya daripada kita. Begini juga situasinya apabila kita berhadapan dengan seorang pensyarah. Mahasiswa tersebut dapat dikatakan tidak mengamalkan kesantunan dalam berbahasa.

            Selain itu, saya rasa mahasiswa-mahasiswa kini perlu diajarkan kemahiran bersosial dalam ilmu bahasa, sastera dan lain-lain subjek dalam bidang kemanusiaan. Bagi saya, inilah kesan yang menimpa generasi muda apabila dunia kini terlalu mengejar arus kemodenan dalam tamadun kebendaan. Mereka dimampatkan dengan formula Sains dan Matematik, Grafik, dan Elektonomi yang terangkum dalam komponen intelek. Sistem pendidikan demikianlah yang memberi sedikit sebanyak sebab kepada kehilangan kesantunan bahasa.

            ”Tiada adab, ilmu menggunung pun tiada ’manis’nya”.

(SITUASI 2) Balasan Seorang Anak Terhadap Seorang Ibu.

Tajuk: Balasan Seorang Anak Terhadap Seorang Ibu.
Tarikh: 18 Januari 2011
Hari: Selasa
    
          " Apasal dgn u ni? Kenapa u nak musnah kn hidup i? I nk kahwin dgn... n i akan ada anak dgn dia!! Apa yg i tak buat untuk u? U tak pernah kisah psl i dr dulu".



 Keratan dialog di atas diambil daripada pesanan ringkas yang dihantar oleh seorang anak kepada ibunya melalui telefon bimbit. Wajarkah pesanan sedemikian ditujukan kepada seorang wanita yang berstatus ibu? Bagi saya, remaja tersebut tidak patut menggunakan bahasa yang begitu kasar terhadap ibu kandungnya sendiri. Keadaan sedemikian dapat dikaitkan dengan ketidaksantunan dalam berbahasa.
           
            Selain itu, penggunaan kata ganti nama diri ’I’ dan ’U’ juga sudah menunjukkan remaja tersebut tidak memiliki sifat menghormati wanita yang lebih tua, apatah lagi mempunyai hubungan yang erat dengan dirinya. Tergamak remaja tersebut berkelakuan sedemikian rupa terhadap ibunya yang sudah tidak memiliki sesiapa dalam hidupnya setelah suaminya meninggal dunia pada tahun 2008. Kini, beliau hanya mempunyai seorang anak perempuan tunggal sahaja yang dijadikan sebagai tempat untuk bergantung.

            Pada pendapat saya, bahasa kesat yang digunakan oleh remaja tersebut tidak sesuai digunakan kerana mampu mengguris hati seorang ibu. Sebagai anak perempuan tunggal kepada wanita tersebut, dia haruslah menggunakan bahasa yang sopan-santun bagi menunjukkan rasa hormat serta kasih sayang terhadap ibunya. Melalui bahasa yang dituturkan dapat mempengaruhi perasaan seseorang sama ada gembira atau sedih. Jadi, kita perlu berfikir dahulu sebelum memperkatakan sesuatu supaya bahasa yang dipertuturkan tidak mengguris perasaan seseorang.

           Selain itu, kita juga berasa janggal apabila mendengar ibu dan anak mengungkapkan kata panggilan “aku” dan “kamu” dalam perbualan mereka. Perlakuan yang demikian dianggap tidak santun.

         Jadi, nilai dan kesantunan mempunyai pertalian yang sangat erat. Seseorang itu dianggap tidak sopan dan tidak mengamalkan nilai yang baik apabila bercakap menggunakan bahasa yang kasar atau tidak tahu meletakkan dirinya dalam sesuatu majlis. Ketidaksopanan dan kerendahan nilai perlakuan dapat digambarkan dalam ungkapan berikut:

Ketika orang diam
Aku bersorak
Ketika orang duduk aku berdiri
Ketika orang memberi
Aku meminta
Ketika orang bekerja
Aku terlena
Ketika orang dipuncak
Aku masih merangkak.

        Selain itu, nilai berbahasa juga dititkberatkan oleh orang Melayu. Maka wujudlah bentuk bahasa yang dikelaskan sebagai bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar, bahasa biadab dan seumpamanya. Oleh itu, seseorang itu perlu memahami dengan siapa ia berkata, sebab ia berkata, dan dalam situasi apa dia berkata. Sesunguhnya, orang yang santun ialah orang yang tahu meletakkan dirinya dalam keadaan tertentu.


Monday, January 17, 2011

(SITUASI 1) Ketidaksantunan Bahasa dalam Kalangan Pelajar.

Tajuk: Ketidaksantunan Bahasa Dalam Kalangan Pelajar.
Tarikh: 17 Januari 2011.
Hari: Isnin
Tempat: Perhentian Bas.



“WEII.. apalah korang ni.. Aku dah tunggu korang lama ‘giler’..Nenek aku pun lagi laju daripada korang lah. Ingat mak bapak korang bayar aku untuk tunggu korang ke?”

Saya menggeleng kepala mendengar perbualan sekumpulan remaja yang menunggu bersama-sama saya di perhentian bas. Bagi saya, bahasa yang dipertuturkan oleh pelajar itu begitu kasar dan tidak mencerminkan budaya orang Timur, apatah lagi orang Islam.

          Dalam hal ini, saya sendiri berasa tidak selesa mendengar perkataan sedemikian, apatah lagi menuturkannya. Barangkali, pelajar tersebut tidak meneliti bahasa yang digunakan dalam percakapan seharian. Namun, pelajar tersebut harus sedar bahawa keperibadian diri sendiri tergambar melalui cara bagaimana mereka berkomunikasi dengan orang lain. Keperibadian diri yang saya maksudkan di sini ialah siapa kita, asal usul kita, sosiobudaya kita, pendidikan kita dan banyak hal yang berkaitan dengan kita, sama ada ia sesuatu yang baik mahupun sebaliknya.

Selain itu, di sini juga saya ingin menyatakan sedikit mengenai kaitan berbahasa dengan agama Islam. Islam sentiasa menganjurkan umatnya berlemah lembut dalam berbicara, baik dalam tutur bahasa dan juga nada. Pertuturan yang baik adalah cerminan hati yang bersih, tulus dan tenang. Pertuturan yang baik juga menggambarkan ketinggian akhlak yang dimiliki. Pengisyaratan Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 11 supaya tidak memperolok-olokkan orang atau kaum yang lain adalah tanda jelas bahawa Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa berlemah lembut dan berhati-hati akan perasaan orang lain.

Jadi, mengapa harus berkasar ketika berbahasa? Sebagai pelajar Muslim, kita perlu sentiasa menjaga percakapan kita agar tidak menyakiti perasaan orang lain dan menimbulkan ketegangan. Lemah lembut dan bersopan dalam bertutur kata tidak akan merendahkan harga diri remaja, sebaliknya menambahkan rasa hormat orang lain terhadap kita dan mengeratkan ukhuwah antara sesama insan.

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.









Sunday, January 9, 2011

Sosiolinguistik oh sosiolinguistik.

Pada hari ini, 10 Januari 2011 merupakan tarikh keramat bagi diri saya dan kawan-kawan yang belum mempuntai blog sendiri. Hal demikian kerana, kami semua diwajibkan untuk menghasilkan blog sendiri bagi menyelesaikan salah satu tugasan dalam subjek Sosiolinguistik. Hari ini, kami dibantu oleh rakan sekelas iaitu Azwani bagi menghasilkan blog masing-masing. Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan
terima kasih kepada Azwani kerana sudi mengajar kami semua dalam menghasilkan blog.
   
   Dalam pada itu juga, melalui blog ini, kami disuruh untuk mencatat peristiwa atau situasi yang berlaku dari minggu kedua sehingga minggu ke sepuluh. Peristiwa yang dimaksudkan adalah berkaitan dengan penggunaan bahasa dalam masyarakat. Kami semua diperlukan untuk memberi komen atau kritikan terhadap peristiwa atau situasi tersebut.
   
   Jadi, saya rasa setakat itu dahulu catatan saya untuk hari ini. Dengan itu, saya berharap kami semua dapat menjalankan tugasan yang dipertanggungjawabkan dengan seikhlas hati.