Tajuk: Ketidaksantunan Bahasa Dalam Kalangan Pelajar.
Tarikh: 17 Januari 2011.
Hari: Isnin
Tempat: Perhentian Bas.
“WEII.. apalah korang ni.. Aku dah tunggu korang lama ‘giler’..Nenek aku pun lagi laju daripada korang lah. Ingat mak bapak korang bayar aku untuk tunggu korang ke?”
Saya menggeleng kepala mendengar perbualan sekumpulan remaja yang menunggu bersama-sama saya di perhentian bas. Bagi saya, bahasa yang dipertuturkan oleh pelajar itu begitu kasar dan tidak mencerminkan budaya orang Timur, apatah lagi orang Islam.
Dalam hal ini, saya sendiri berasa tidak selesa mendengar perkataan sedemikian, apatah lagi menuturkannya. Barangkali, pelajar tersebut tidak meneliti bahasa yang digunakan dalam percakapan seharian. Namun, pelajar tersebut harus sedar bahawa keperibadian diri sendiri tergambar melalui cara bagaimana mereka berkomunikasi dengan orang lain. Keperibadian diri yang saya maksudkan di sini ialah siapa kita, asal usul kita, sosiobudaya kita, pendidikan kita dan banyak hal yang berkaitan dengan kita, sama ada ia sesuatu yang baik mahupun sebaliknya.
Selain itu, di sini juga saya ingin menyatakan sedikit mengenai kaitan berbahasa dengan agama Islam. Islam sentiasa menganjurkan umatnya berlemah lembut dalam berbicara, baik dalam tutur bahasa dan juga nada. Pertuturan yang baik adalah cerminan hati yang bersih, tulus dan tenang. Pertuturan yang baik juga menggambarkan ketinggian akhlak yang dimiliki. Pengisyaratan Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 11 supaya tidak memperolok-olokkan orang atau kaum yang lain adalah tanda jelas bahawa Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa berlemah lembut dan berhati-hati akan perasaan orang lain.
Jadi, mengapa harus berkasar ketika berbahasa? Sebagai pelajar Muslim, kita perlu sentiasa menjaga percakapan kita agar tidak menyakiti perasaan orang lain dan menimbulkan ketegangan. Lemah lembut dan bersopan dalam bertutur kata tidak akan merendahkan harga diri remaja, sebaliknya menambahkan rasa hormat orang lain terhadap kita dan mengeratkan ukhuwah antara sesama insan.
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
No comments:
Post a Comment